KELEMAHAN

Jika kita perhatikan, bahan bantu mengajar sememangnya tidak mempunyai kelemahan secara langsung, kerana tujuan utama bahan bantu mengajar adalah untuk menutup sebahagian  kelemahan yang terdapat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Merujuk kepada beberapa kajian yang dijalankan oleh pengkaji lepas, beberapa faktor yang menjadi masalah atau halangan pada penggunaan bahan sumber di dalam pengajaran dan pembelajaran telah dikenalpasti.  Menurut Rohrlick (1972), terdapat beberapa faktor utama yang menjadi kekangan kepada kelancaran penggunaan bahan bantu mengajar.
Faktor utama dalam kelemahan bahan bantu mengajar ialah masalah kekurangan guru pakar bagi sesuatu subjek yang diajar oleh guru. Kekurangan guru yang terlatih dalam menggunakan sumber menyebabkan sesuatu bahan bantu mengajar yang dihasilkan tidak dapat digunakan secara berkesan. Terdapat juga sebahagian guru yang kurang menguasai bahan atau alat bantuan mengajar di dalam kelas. Mereka tidak dapat mengaplikasikan alat atau bahan bantuan mengajar tersebut sebagai bahan pengajaran mereka. Malah, kurangnya kemahiran guru dalam memilih jenis bahan atau alat bantu mengajar yang sesuai menjadi halangan kepada masalah PdP guru tersebut. Hal ini menyebabkan murid kurang jelas dengan topik pembelajaran yang dirancang oleh guru mereka pada hari tersebut. Di samping itu, susunan bilik darjah yang tidak memuaskan, kekurangan bahan sebagai hiburan dan kekurangan masa belajar menyebabkan murid kurang memberi perhatian semasa di dalam kelas.
Di samping itu, terdapat juga beberapa kelemahan yang dikenalpasti oleh pengkaji sepanjang penghasilan bahan bantu mengajar ini. Antaranya ialah murid akan menggambarkan bahan maujud yang ditunjuk oleh guru sebagai objek sebenar.  Sebagai contoh replika buah epal yang dilihat mirip sebiji epal yang sebenar.  Bagi murid yang bermasalah pembelajaran, keupayaan mereka berimaginasi mungkin tidak sebaik murid tipikal. Hal ini memerlukan kepakaran seorang guru dalam menerangkan dengan lebih kreatif kepada murid bermasalah pembelajaran ini. Seterusnya, kos pembelian barang maujud.  Seorang guru perlu mengeluarkan bajet bagi membeli banyak barangan mengikut silibus yang ingin diajar di dalam kelas.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai kelemahan bahan atau alat bantu mengajar yang dihadapi oleh guru dan murid di sekolah. Oleh itu, sebagai guru hendaklah sentiasa membaiki kelemahan yang terdapat dalam alat bantuan mengajar agar kelemahan yang dihadapi dapat diperbaiki dengan lebih baik. Untuk mengatasi segala kelemahan guru seharusnya lebih prihatin dan memahami kehendak pelajar yang diajarkan. Selain itu, guru harus muhasabah dan meningkatkan segala kemahiran dalam proses pengajarannya terutama dalam menggunakan segala bahan atau alat bahan mengajar seperti kemahiran menggunakan Teknologi maklumat, Multimedia dan sebagainya serta perlulah dirancang dengan sistematik.

No comments:

Post a Comment