Dalam sistem pendidikan masa kini, penggunaan bahan dan media dalam pengajaran dan pembelajaran sudah menjadi perkara penting yang mana ianya wajib digunakan setiap kali berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran. Bahan pengajaran merupakan alat bantu mengajar para guru untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Dalam pengajaran, murid-murid menerima rangsangan daripada guru melalui pancainderanya. Oleh itu, sesuatu yang dapat didengar dan dilihat adalah lebih baik dan berkesan daripada setakat mendengar sahaja dan sesuatu yang dapat dipegang, dilihat dan didengar adalah lebih berkesan daripada dilihat dan didengar sahaja.
Selain itu, penting juga bagi guru untuk menggunakan alat bantuan mengajar ketika sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini bertujuan untuk menambahkan kelancaran pembelajaran, meningkatkan kefahaman serta meningkatkan perhubungan antara guru dengan pelajar. Penggunaan alat bantu mengajar dapat mempercepatkan proses pemahaman pelajar dan membolehkan guru dan pelajar mengadakan komunikasi yang baik. Isi pengajaran bahasa, iaitu mesej yang hendak disampaikan dapat disalurkan melalui lisan, alat bantu mengajar, dan penulisan.
Selain itu, Kamarudin Hj Husin (1988) telah merumuskan bahawa bahan bantu mengajar yang digunakan oleh guru dalam sesuatu pengajaran mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Antaranya bahan bantu mengajar yang digunakan dapat memberi rangsangan dan mengekalkan minat murid. Bahan bantu mengajar yang berkualiti dan diselenggarakan dengan baik akan dapat meransangkan para pelajar untuk belajar. Para pelajar akan terangsang untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Disamping itu, bahan bantu mengajar yang baik juga akan dapat mengekalkan minat para pelajar untuk terus memberikan tumpuan kepada pengajaran guru. Seterusnya beliau menyatakan bahawa bahan bantu mengajar dapat menyediakan dasar yang kukuh untuk perkembangan kefahaman dan corak pemikiran serta mengurangkan gerak balas lisan yang tidak diperlukan daripada pelajar-pelajar.
Penggunaan bahan sokongan seperti gambar, komputer atau internet atau sebarang bahan sokongan akan memberikan kesan peneguhan. Contohnya dengan melayari internet banyak maklumat yang akan diperolehi oleh murid, sekaligus internet akan mengurangkan gerak balas lisan yang tidak perlu dalam kalangan para pelajar. Mereka akan memberikan tumpuan kepada bahan-bahan atau maklumat yang sedang diterokai. Selain itu, penggunaan bahan bantu mengajar juga dapat mempelbagaikan aktiviti dalam proses sesuatu pengajaran dan pembelajaran. Melalui bahan bantu yang sesuai akan memberi peluang pelajar berinteraksi dengan bahan tersebut atau dalam kumpulan pembelajaran.
Kepentingan bahan bantu mengajar bukan sekadar yang telah dinyatakan di aatas sahaja, malah ia juga dapat membina pemikiran yang berterusan, membantu pemahaman dan perbendaharaan kata pelajar, mendorong pelajar menyiasat sesuatu isu atau perkara melalui peningkatan lagi aktiviti bacaan mereka dan dapat memberi pengalaman baru serta menjadikan pembelajaran lebih mendalam dan beragam.
No comments:
Post a Comment